Perut lapar sangat, RM5 tak b0leh keluar dari ATM! Rider rayu ihsan penjual tauhu bergedel - “Saya transfer RM5, abang bagi duit tu dekat saya”


GERAI dikunjungi penghantar makanan untuk mengambil pesanan pelanggan adalah perkara biasa, namun seorang peniaga sebak dengan kehadiran seorang rider yang melakukan tugas itu.

Menurut rider itu, dia hanya mempunyai wang RM5 untuk membeli makanan tengah hari.

"Kak, saya nak minta tolong sikit, boleh? Saya transfer dekat abang RM5, abang bagi duit tu dekat saya. Saya tak makan lagi sebenarnya, tak boleh keluar duit," katanya.

Peniaga itu, Norzahirah Anua Mohd Yusoff berkata, ketika kejadian pada Ahad lalu, dia sedang menyiapkan pesanan pelanggan untuk diambil penghantar makanan itu di gerai tauhu bergedelnya di Damansara Damai, Selangor.

Mesra disapa Eyra, dia mengakui terdiam seketika apabila permintaan tersebut diajukan oleh pemuda yang berumur 20-an tersebut.

"Masa tu kira-kira pukul 3 petang, dia cakap belum makan lagi. Nak keluarkan duit daripada ATM (mesin pengeluaran wang automatik) mana boleh keluarkan RM5 je.

"Di saat dia menunggu pesanan 10 biji tauhu bergedel untuk dihantar kepada pelanggan, hakikatnya perut dia sendiri kosong belum makan. Saya sebak tetapi cuba kawal perasaan," katanya ketika dihubungi mStar.

Eyra mengakui terdiam ketika mendengar permintaan seorang penghantar makanan.

Sering membuat video penstriman secara langsung (live) ketika berniaga, wanita berusia 35 tahun itu mendedahkan kejadian seumpama itu sebenarnya sering berlaku di gerainya yang diusahakan bersama suami, Mohd Zulhafizi Mohd Isa, 37, sejak 2020.

"Saya selalu bersembang dengan rider, dan tanya perkembangan mereka. Ada yang tak banyak job, atau tunggu kredit clear baru boleh dapat duit.

"Kalau hari tu mereka dapat job yang cash (wang tunai), boleh guna terus untuk makan. Sekarang ni agak mencabar bagi kebanyakan rider," ujarnya yang berasal dari Kuala Selangor.

Tak salah berbuat baik dengan orang lain, dengan apa yang kita ada. Kita jangan cepat menilai seseorang.

NORZAHIRAH ANUA MOHD YUSOFF

Disebabkan kesulitan itu juga, kata Eyra, penghantar makanan itu terpaksa melakukan dua kerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Siang dia buat kerja rider hantar makanan, malam dia kerja kilang. Nak harapkan pendapatan dengan kerja kilang saja tak dapat tampung sepenuhnya, memang nampak dia struggle.

"Kami di gerai memang sediakan peruntukan tauhu bergedel untuk disedekahkan kepada rider setiap kali mereka datang ambil pesanan untuk pelanggan.

"Hari tu rezeki dia dapat satu pek yang mengandungi lima biji tauhu bergedel tanpa perlu bayar. Kebetulan dia pun lapar, Alhamdulillah syukur dapat juga dia makan," tambahnya.

Eyra berniaga sambil berk0ngsi rezeki.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, sebagai peniaga, dia dan suami cuba untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan seperti penghantar makanan.

"Bila mereka kata tak duit dalam tangan maksudnya betul-betul tak ada duit. Kadang-kadang rider tunggu lama di gerai, tanya harga tauhu bergedel sambil berkira-kira nak membeli.

"Bagi saya, tak salah berbuat baik dengan orang lain, dengan apa yang kita ada. Kita jangan cepat menilai seseorang. Mungkin ketika ni tak jadi pada kita, tapi mungkin berlaku pada anak cucu kita kemudian hari dan ada orang lain yang sudi membantu," katanya lagi.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post