M Daud Kilau meninggal dunia


M Daud Kilau dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.

PENYANYI Datuk M Daud Kilau meninggal dunia pada pukul 4.46 petang di Hospital Teluk Intan, Perak pada Isnin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun.

Berita itu disahkan oleh anak lelakinya iaitu Ahmad Zaini Mohd Daud, 52, yang memaklumkan keadaan kesihatan bapanya itu tidak stabil sejak dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.

Kesihatan M Daud Kilau dikatakan tidak stabil sejak dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.

"Ayah saya memang ada penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung. Dia dimasukkan ke hospital baru-baru ini sebab kesihatannya tidak stabil.

"Sejak tiga hari lalu keadaannya semakin teruk dan asyik meracau. Masalah kencing manis juga semakin merebak," katanya ketika dihubungi mStar.

Tambah Zaini, doktor sepatutnya mahu melakukan pembedahan memotong kedua-dua kaki namun tidak dapat dilakukan kerana tekanan darah tidak stabil.

"Sepatutnya hari ini (Isnin) nak potong kedua-dua belah kaki sebab masalah diabetes. Tapi apabila doktor bius periksa, ia tidak boleh dilakukan sebab tekanan darah tidak stabil.

"Ini kali ketiga pembedahan ditangguhkan sebab masalah sama," ujarnya.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak selepas solat Zohor, Selasa.

Kenangan M Daud Kilau bersama koleksi baju ketika membuat persembahan pentas.

M Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau dilahirkan pada 10 Julai 1938 dan mula aktif dalam bidang seni pada tahun 1968 selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura.

Allahyarham cukup sinonim dengan gelaran Raja Gelek dan popular menerusi lagu-lagu seperti Gila Judi, Biar Papa Asal Bergaya serta Cek Mek Molek.

Kali terakhir arwah merakamkan single adalah bersama penyanyi Ezlynn menerusi lagu Pening pada tahun 2003.

Penyanyi ini pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) tiga tahun lalu.

Allahyarham meninggal balu iaitu Datin Rohani Awang Ngah dan seorang anak.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post