Madi membuat kejutan sempena hari jadi ibunya yang ke-52 baru-baru ini.
TIDAK perlu sambutan hebat atau hadiah mahal, namun ingatan anak setiap kali tibanya hari ulang tahun kelahiran cukup membuatkan si ibu terharu.
Baru-baru ini tular video penuh meruntun hati di mana seorang remaja lelaki membuat kejutan sempena hari lahir ibunya.
Bersama beberapa orang rakan, remaja tersebut mengejutkan ibunya dengan sebiji kek ketika wanita itu sedang bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Berkongsi dengan mStar, remaja bernama Ahmad Asmadi Zaidi berkata, idea untuk membuat kejutan sempena hari jadi ibunya, Zaity Ismail, 52, yang jatuh pada tanggal 30 September lalu sebenarnya tercetus pada saat-saat akhir.
"Sebenarnya niat asal saya hanya mahu membelikan sebiji kek dan hantar kepada ibu di tempat kerjanya. Tapi apabila dah beli kek, saya terdetik nak buat kejutan.
"Lapan orang rakan yang ikut bersama saya ketika itu memainkan peranan masing-masing. Kami plan konon-konon beberapa rakan saya ni nak buat pesanan di mesin layan diri dan minta ibu ajar.
"Sambil tu saya menyorok pegang kek dan kemudian buat kejutan daripada arah belakang.
Madi merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik.
"Reaksi ibu ketika itu sangat terkejut dan terharu. Ibu saya seorang yang jarang sambut hari jadi... jadi dia ingat saya terlupa nak beri ucapan kepadanya seperti tahun-tahun sebelumnya," cerita remaja berusia 16 tahun ini.
Senang disapa sebagai Madi, remaja ini berkata sungguhpun dia hanya membelikan sebiji kek tanpa sambutan yang meriah seperti keluarga lain, namun dia berpuas hati kerana dapat melakukan sesuatu yang istimewa buat ibunya dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.
"Ibu saya dah hampir tujuh tahun bekerja di restoran makanan segera itu untuk menyara saya dan adik beradik lain. Apabila dah besar, saya cuba bekerja part-time di bahagian Food and Beverages (F&B) di hotel pada waktu lapang.
"Saya rasa nak bekerja untuk meringankan beban ibu memandangkan ayah dah meninggal dunia. Sekarang ini hanya saya yang tinggal berdua dengan ibu... adik beradik lain belajar dan bekerja.
"Saya dah pernah hilang seorang orang tersayang. Sekarang hanya tinggal lagi seorang. Saya berdoa agar ibu akan berada dengan saya sehinggalah saya berjaya kelak," ujar anak bongsu daripada lima adik-beradik ini.
Saya berdoa agar ibu akan berada dengan saya sehinggalah saya berjaya kelak
AHMAD ASMADI ZAIDI
Tidak menyangka perkongsiannya meraih lebih daripada 270,000 jumlah tontonan, Madi berkata dia sendiri sebak apabila membaca komen-komen warga maya.
"Saya upload untuk dijadikan kenangan dan tak sangka viral. Alhamdulillah semuanya komen positif malah mereka pun beri ucapan dan doakan untuk mak saya.
"Ada satu komen yang begitu menusuk sampai saya menangis. Dia tulis, 'my mom deserve a better child'. Saya tersentak sebab saya sendiri pun pernah cakap macam tu dekat ibu.
Antara komen netien terhadap perkongsian video Madi.
"Apapun bagi saya, kalau kita tak mampu nak banggakan mereka, tapi setidak-tidaknya buat mereka gembira dengan kita. Mereka dah banyak berkorban untuk kita.
"Terima kasih kepada semua yang doakan ibu saya. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan baik yang turut raikan birthday ibu. Merekalah kawan ketika susah senang dan moga semuanya berjaya di masa hadapan," akhirinya.
Sumber : mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.
PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.