Kalau Isteri Mengidam Wajib Tak Suami Tunaikan? Ini Jawapan UAI


Kalau Isteri Mengidam Wajib Tak Suami Tunaikan? Ini Jawapan UAI

Apabila bercakap mengenai idaman para isteri yang hamil, kita pastinya mahu menunaikan perkara tersebut lebih-lebih lagi suami-suami yang memikul tanggungjawab untuk memastikan perasaan orang rumahnya terjaga.

Tetapi sekiranya idaman yang diminta agak melampau, adakah suami perlu melakukan perkara itu demi memastikan isterinya tidak merajuk?

Justeru dalam konteks Islam, adakah ia menggalakkan para suami menunaikan permintaan isterinya yang ‘mengidam’? Atau ia mempunyai hukum yang tertentu?

Untuk mengetahui lebih lanjut, mari kita lihat kembali perkongsian pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkaitan dengan idaman para isteri hamil di bawah ini.

Hukum Isteri Mengidam: Wajibkah Suami Tunaikan?

Erti Mengidam

Dalam bahasa arab:

الوَحَم: شهوةُ المرأة للشيء على الحَبَل.

“Al-Waham ertinya adalah keinginan wanita akan sesuatu ketika dia hamil.” (Kamus Maqayis al-Lughat)

Yang biasa berlaku ialah para isteri yang sedang hamil mengidam mahu makan sesuatu. Kebanyakannya yang kita dengar ialah mahu makan asam atau buah-buah yang masam seperti buah pauh dan seumpamanya. Tetapi ada juga isteri yang mahu makanan lain samada buah-buahan atau masakkan tertentu.

Mengidam tidak berlaku pada semua wanita yang hamil tetapi sebahagiannya sahaja. Ramai juga para isteri yang hamil yang tidak mengidamkan apa-apa.

Tetapi yang pasti mengidam tidak berlaku pada wanita yang tidak hamil.

Mengidam juga ada diberitakan berlaku pada masyarakat barat. Dalam bahasa inggeris mengidam disebut sebagai longing atau craving.

Elizabeth Somer, penulis buku ‘Nutrition for a Healthy Pregnancy’ menyebut bahawa penyebab mengidam adalah perubahan hormon dalam badan yang memainkan peranan kepada perubahan selera dan bau.

Hukum Suami Tunaikan

Para ulama menjelaskan bahawa para suami adakalanya wajib menunaikan apa yang diidamkan oleh isteri yang hamil dan adakalanya sunat dan kadang-kadang hukumnya haram.

Jika apa yang diidamkannya itu adalah termasuk nafkah kebiasaan seperti makan minum maka hukumnya adalah wajib atas suami menyediakannya.

Jika ia diluar dari nafkah seperti mengidam mahu makan aiskrim atau main buaian contohnya atau lainnya, maka sunat dan sebaiknya suami tunaikannya.

Idaman Yang Tidak Boleh Ditunaikan

Idaman yang boleh membahayakan nyawa atau kesihatan isteri dan bayi maka tidak boleh suami tunaikan seperti isteri yang mengidam mahu melakukan selfie dengan buaya atau terjun dari tempat yang tinggi atau atau mahu berlumba motor atau mahu makan sesuatu yang sangat manis sedangkan isteri ada penyakit kencing manis dan sebagainya maka tidak harus suami tunaikan.

Begitu juga tidak boleh ditunaikan jika isteri mengidam melakukan sesuatu yang salah dan dosa seperti mengidam mahu pakai pakaian ketat pergi ke pantai atau mengidam mahu tidur selama sehari sampai meninggalkan solat atau seumpamanya.

Kesimpulan

Sunat hukumnya dan berpahala suami melayan karenah isteri yang mengidam selagi tidak merbahaya dan tidak berlawanan dengan syariat. Isteri yang mengidam adalah isteri yang hamil, isteri yang hamil sangat mudah tersentuh hatinya kerana beban yang ia tanggung dari hilang selera makan, pening, lenguh tubuh badan dan seumpamanya.

Maka seeloknya para suami penuhi hajatnya dari kerana jika tidak dipenuhi, akan mudah merajuk dan sakit hati. Apalah susahnya bagi seorang suami kalau isteri mengidam hendak makan sebiji epal, lainlah kalau mengidam hendak beli telefon bimbit cap buah epal.

Manakala para isteri yang mengidam pula, banyaklah bersabar dan jangan disusahkan suami pula dengan idaman yang pelik-pelik atau yang tidak mampu dipenuhi oleh suami.

Firman Allah swt:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Ertinya: dan pergaulilah isteri-isteri itu dengan cara yang terbaik.

Manakala Rasulullah saw pula bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وأنا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Ertinya: Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah paling baik terhadap isteriku.

Wallahua’lam.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus/Facebook / siakapkeli

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post