Siap dah bawa bekas, makcik bertekak dengan pekerja katering nak tapau lauk kenduri - “Setakat satu dua bungkus takkan tak boleh?”


Sesiapa yang mahu membungkus lauk kenduri perlu mendapat izin tuan rumah terlebih dahulu.

SIKAP segelintir individu yang suka membungkus atau menapau makanan di majlis kenduri bukan sesuatu yang asing.

Agaknya makanan yang dihidangkan sedap-sedap belaka, maka teringin pula untuk membawa ‘bekal’ pulang ke rumah.

Namun situasi seperti itu kebiasaannya berlaku di penghujung majlis bagi mengelakkan makanan yang masih berbaki dibiarkan membazir atas keizinan tuan rumah.

Bagaimanapun lain pula yang terjadi pada satu majlis kenduri ini apabila seorang wanita begitu berani mahu mengambil makanan untuk dibawa pulang ketika majlis belum bermula.

Pelbagai aneka juadah disediakan untuk para tetamu. -Gambar hiasan/ The Star

Menerusi satu perkongsian video di TikTok, kelihatan wanita itu berkeras meminta pekerja katering membungkuskan lauk untuknya.

“Masa tengah rakam video lauk pengantin, tiba-tiba dengar kecoh-kecoh pasal ni,” demikian menurut keterangan video berdurasi 44 saat itu.

Individu yang berkongsi video itu bagaimanapun tidak menyatakan lokasi dan bila kejadian berlaku.

Menurut individu tersebut, sesi bertikam lidah itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi dan majlis masih belum bermula.

Jelasnya, tuan rumah menggunakan khidmat katering yang tentunya sudah membuat tempahan lauk mengikut jumlah tetamu yang dijemput.

“Dah makan, nak bungkus pula. Dah la kenduri ni guna katering,” katanya.

Malah dakwanya, wanita itu cuba memberikan alasan bahawa tuan rumah telah menanggung segala kos khidmat katering untuk para tetamu.

“Mereka kan dah bayar, tak akan satu bungkus pun tak boleh tapau? Makcik nak dua, tiga jenis lauk je,” kata tetamu berkenaan.

Perkongsian yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, wanita itu tetap mendesak meminta supaya lauk kenduri dapat dibungkuskan untuk dibawa pulang.

Dalam rakaman itu, kelihatan dua pekerja katering bersikap tenang dan memaklumkan untuk berbincang dengan pengurus mereka terlebih dahulu.

“Tak boleh makcik, kalau majlis nak berakhir tu boleh la juga kami nak bungkuskan.

“Kami tak boleh buat sesuka hati. Makcik pun duduk di sini lama, kami boleh tapaukan akhir-akhir nanti. Kalau tak, nanti apa-apa berlaku, kami yang akan kena,” jelas pekerja.

Kalau aku pergi kenduri, jangankan nak tapau... nak makan lebih pun malu.

NETIZEN

Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan, tetamu wanita itu masih berkeras supaya permintaannya dipenuhi.

“Tak kiralah, beritahu kat pengurus. Makcik nak juga lauk ye,” ujar wanita itu lagi mendesak.

Bagaimanapun tidak dipastikan sama ada permintaan tetamu wanita untuk dibungkus lauk kenduri dipenuhi atau tidak.

“Nanti kami beritahu pengurus ye, makcik. Tapi sekarang tak boleh. Sebab awal-awal,” jelas pekerja di akhir video.

Antara komen netizen.

Di ruangan komen menerusi video yang meraih lebih 1.2 juta tontonan itu, rata-rata netizen terkejut dengan sikap mendesak tetamu wanita berkenaan yang mahu menapau lauk kenduri.

“Selamba nak bungkus lauk, majlis tak mula lagi.

“Kalau aku pergi kenduri, jangankan nak tapau, nak makan lebih pun malu,” komen netizen.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis.

“Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.

“Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram,” katanya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post