30 tahun jual aiskrim ‘homemade’, masih setia guna kotak dan loceng sama! Anak syukur keluarga sehari pun tak pernah berlapar

 


KEBERKATAN dalam mencari rezeki merupakan kunci utama untuk sesebuah perniagaan mampu bertahan lama.

Itulah yang dicari Syamaial Huda Mustakim, 68, sepanjang mengusahakan bisnes ais krim kotak atau blok sejak 30 tahun lalu selepas meninggalkan kerjaya sebagai pengawal keselamatan dan pekerja kilang.

Ketika dihubungi mStar, anak sulungnya, Nora Anzalina Syama’i Al Huda, 35, menceritakan semula kisah di sebalik video tular mengenai bapanya yang dijadikan idola sejak kecil.

Bapa Nora masih menjual aiskrim blok walau sudah lanjut usia.

“Ayah saya jadikan jual aiskrim ni sebagai salah satu ibadahnya kerana mengikut sunah Rasulullah SAW. Sambil berniaga dia boleh berhenti solat sebab masa lebih fleksibel.

“Sebelum ni dia buat dua kerja dalam satu hari. Lepas tu kawan-kawan ajak jual aiskrim. Mula-mula dia tak nak sebab risau untung sedikit tapi lepas tengok keuntungan kawan, dia nekad berhenti kerja dan berniaga.

“Walaupun hasil diperoleh tak begitu mewah tapi kami sekeluarga tak pernah sehari pun berlapar tak ada makanan. Memang keluarga kami dibesarkan dengan hasil jualan aiskrim ayah sejak saya kecil,” ujarnya.

Bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat di Puncak Alam, Selangor, Nora berkata dia kini turut membantu bapanya menguruskan jualan aiskrim.

Tambahnya lagi, disebabkan sudah lanjut usia, bapanya yang menetap di Klang, Selangor tidak begitu aktif berniaga aiskrim seperti sebelum ini.

Syamaial masih menggunakan alatan perniagaan lama.

“Dulu ayah bertahun-tahun jual aiskrim yang dibeli dari sebuah kilang tapi dah tak beroperasi. Sekarang ayah jual aiskrim lain tapi rasanya seakan-akan sama macam dulu dan masih sedap.

“Ayah memang cerewet dengan rasa aiskrim. Sekarang ada tujuh perisa ayah buat sendiri termasuklah keladi, durian, jagung dan pandan. Dulu siap ada kilang aiskrim minta ayah jual pada mereka, tapi dia menolak.

“Trend jual aiskrim guna motosikal dah kurang dapat sambutan macam dulu. Jadi saya cuba tukar strategi dengan iklankan di media sosial yang kami menerima tempahan sekiranya ada majlis kahwin, keramaian atau di sekolah-sekolah,” katanya lagi.

Ayah memang legend menjual aiskrim ni sebab dia antara orang terawal mengusahakan aiskrim blok.

NORA ANZALINA

ANAK SYAMAIAL

Imbas Nora yang memiliki dua adik, bapanya merupakan warga Semarang, Indonesia yang berpindah ke sini selepas berkahwin dengan ibunya.

“Dulu dekat Indonesia ayah saya seorang cikgu mengajar di sekolah menengah. Tapi selepas berjodoh dengan mak, mereka pindah dan menetap di Malaysia.

“Mereka besarkan kami adik beradik bersama-sama. Selain menjual aiskrim, mak saya pun buat kerja juga untuk bantu ayah mencari duit untuk menyara kami sekeluarga,” katanya lagi.

Nora membantu mengembangkan bisnes bapanya.

Melihat sendiri ketekunan bapanya yang tidak pernah putus asa mencari rezeki menggunakan motosikal membuatkan dirinya lebih bersemangat membantu.

Nora bukan sahaja menjadikan bapa sebagai idola malah memasang cita-cita untuk membuka perniagaan aiskrim jenama sendiri demi meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

“Ayah memang legend menjual aiskrim ni sebab dia antara orang terawal mengusahakan aiskrim blok. Dulu-dulu saya ingat lagi, ayah akan tunggu depan pagar sekolah jual aiskrim.

Nora menerima tempahan menjual aiskrim untuk majlis.

“Sampai sekarang pun ayah masih guna loceng dan tong aiskrim sama. Cuma motosikal saja ayah tukar baharu tapi masih model sama beli guna hasil simpanan berniaga.

“Ayah seorang yang sangat berjimat cermat. Makanan pun tak pernah dibazirkan. Kalau nak sesuatu pun ayah akan cakap jangan minta benda tak ada. Belajar bersyukur jadi Allah akan bagi lebih, InsyaAllah,” katanya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post