Pernah luah mahu mati syahid, remaja maut ketika selamatkan sepupu lemas


Hasrat seorang remaja lelaki yang ditemui mati lemas semasa menyelamatkan dua sepupunya yang mandi di tali air di Kampung Kubang Sawa, Pengkalan Kubor, Kelantan, semalam mahu mati syahid akhirnya tercapai.

Abe nak mati syahid…

Memetik laporan Kosmo! Online, remaja berusia 13 tahun dikenali Muhammad Aidil Zaquan Abdullah pernah menyatakan hasrat tersebut kira-kira dua minggu lalu, namun ibu mangsa, Noridawati Ismail, 33, tidak mengesyaki apa-apa.

Ini kerana Noridawati beranggapan anak sulungnya daripada tiga beradik itu sekadar bergurau ketika dia berkongsi berita di Facebook mengenai kejadian lemas kepada mangsa.

“Saya memaklumkan bahawa mangsa yang lemas itu beruntung apabila dapat mati syahid kerana membantu orang lemas. Muhammad Aidil Zaquan kemudiannya menyampuk dengan mengatakan dia juga mahu syahid dengan cara sama.

“Saya pada awalnya beranggapan luahan itu hanya gurauan antara kami berdua. Selepas dua minggu, arwah pula yang meninggal dunia akibat lemas semasa menyelamatkan sepupunya. Hasratnya tercapai sebelum menghembuskan nafas terakhir,”katanya kepada pemberita.

Sedang kerja, bergegas balik selepas adik hubungi

Mengulas lanjut, Noridawati memberitahu, dia hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa anaknya kira-kira pada jam 6.30 petang ketika berada di tempat kerja dekat sebuah kedai aksesori telefon di Kampung Chabang Empat.

Noridawati berkata, dia tidak dapat pulang awal semalam kerana hujan lebat yang berlaku di tempat kerjanya. Namun, terpaksa bergegas pulang selepas dihubungi adik mengenai kejadian tersebut.

“Ketika itu, adik menghubungi saya memaklumkan mengenai kejadian itu. Saya terus bergegas pulang dengan menunggang motosikal meredah hujan lebat.

“Semasa tiba tiba di tali berdekatan rumah itu, saya lihat arwah sudah tidak bernyawa dan mayatnya sudah diangkat ke tebing,” ujarnya.

Datuk terjun, cari cucu lemas

Sebelum kejadian, Muhammad Aidil dikatakan berada di padang bola tidak jauh dari tali air dan ternampak beberapa remaja sedang mandi yang mana dua daripadanya dipercayai sedang lemas.

Difahamkan, mangsa segera terjun ke dalam tali air untuk memberi bantuan dan dua sepupunya itu berjaya berpegang pada sebuah perahu usang, manakala mangsa pula lemas.

Datuk mangsa, Ismail Mamat, 67, berkata sebaik mengetahui kejadian, dia yang berada di rumah segera ke tali air lalu terus terjun untuk mencari mangsa.

“Tiga kali saya menyelam sehingga semput, namun cucu masih tidak dijumpai sehinggalah kali keempat (selaman) akhirnya dapat mencapai sebelah kakinya dalam kedalaman kira-kira 4.5 meter.

“Ketika dinaikkan ke tebing, cucu sudah tidak bernyawa dan tubuhnya juga kebiru-biruan,” katanya.

Jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, di sini, kira-kira 10 pagi tadi.

Sumber: Kosmo! Online (Rohana Ismail) / ohmymedia

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post