Anak berhenti kerja, pilih berbakti jaga mak ayah sakit! Selepas 5 bulan ibu meninggal, bapa pula ‘menyusul’ - “Bahagialah bersama cinta hati abah”


DUGAAN bertimpa-timpa. Selepas satu ujian, satu ujian lain pula yang datang.

Selepas kira-kira lima bulan pemergian ibu tercinta, bapa wanita ini pula meninggal dunia.

“Berbahagia bersama cinta hati abah kat sana ya. Mak dah tunggu abah kan,” demikian antara keterangan video yang dimuat naik seorang anak di laman sosial.

Hakikat yang perlu ditelan walaupun pahit, begitulah situasi yang dihadapi Masitah Marsidi yang berdepan dua pemergian insan tersayang dalam tempoh singkat.

Masitah menjaga ibu bapanya di kampung di Felda Kahang Barat di Kluang, Johor.

Berkongsi cerita, katanya, ibunya, Masnah Mohamad, 70, meninggal dunia kerana sakit jantung pada 9 Februari lalu, manakala bapanya, Marsidi Mion, 74, pula dijemput Ilahi akibat penyakit buah pinggang pada 28 Julai lalu.

“Sedih yang tak tertanggung sampaikan saya tak boleh nak buat apa-apa. Saya cuba buat-buat sibuk untuk melupakan kesedihan.

“Mak baru je pergi, abah pula meninggalkan kami. Mak masuk wad selama 11 hari sebelum meninggal dunia dan abah hari ni sihat, esok dia dah tak ada,” katanya kepada mStar.

Masitah nekad untuk berhenti kerja bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.

Mengimbas kembali, wanita berusia 31 tahun itu membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai kerani pada 2020 selepas lima tahun berkhidmat bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.

“Dari sebelum kahwin sampailah dah berumahtangga, saya jaga mak dan abah. Tapi sejak mereka berdua tak sihat, lebih-lebih lagi mak yang asyik keluar masuk hospital saya tak boleh fokus pada kerja kerana fikirkan keadaan mak abah.

"Jadi, saya nekad berhenti kerja,” ujarnya yang berasal dari Felda Kahang Barat di Kluang, Johor.

Raya terakhir bersama arwah ibu.

Berkahwin sejak sembilan tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata, anak bongsu daripada enam beradik ini bersyukur kerana keputusan untuk berhenti kerja adalah tepat.

“Saya bersyukur sangat kerana diberi peluang untuk menjaga mak dan abah. Mereka di depan mata waktu sihat dan sakit. Syukur pada Allah beri peluang ini,” katanya.

Saya bersyukur sangat kerana diberi peluang untuk menjaga mak dan abah. Mereka di depan mata waktu sihat dan sakit.

MASITAH MARSIDI

Masitah yang merupakan suri rumah menyifatkan ibunya sangat ceria, penyayang dan mudah mesra, sementara bapanya pendiam tetapi murah dengan senyuman dan mudah didekati.

“Pemergian mak dan abah membuatkan saya sangat menghormati setiap momen bersama mereka. Paling rindu pelukan mak dan panggilan 'sayang' pada saya.

“Teringat senyuman abah. Keadaannya yang tidak sihat memerlukan abah berjalan guna tongkat, jadi selalu dengar bunyi tongkat tu apabila abah berjalan. Masih terngiang-ngiang bunyi tu,” katanya sambil menambah arwah ibu bapa berpesan supaya menjaga hubungan adik-beradik.

Masitah (berdiri, kiri) dan suami (berdiri, kanan) bersama arwah ibu bapanya.

Dia yang melakukan bisnes kotak hadiah atau gift box secara dalam talian turut menitipkan pesanan kepada orang yang di luar sana yang masih mempunyai ibu bapa.

“Hargailah mereka selagi ada. Jaga mereka dengan baik, jangan kasari mereka. Kena faham keadaan mereka apabila semakin tua, kadang-kadang mereka jadi kebudak-budakkan.

“Layan mereka elok-elok. Paling penting, ambil gambar dan video dengan mereka banyak-banyak jika berkesempatan untuk dijadikan kenangan hari ini dan akan datang,” katanya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post