King Cobra masuk rumah sehari sebelum raya! Esoknya, seekor lagi muncul di rumah mak di kampung

 

"INGATKAN ular senduk, rupa-rupanya King Cobra."

Demikian kata wanita ini ketika berkongsi kisah rumahnya yang dimasuki reptilia tersebut baru-baru ini.

Mengimbas kembali kejadian itu yang berlaku sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mar berkata, kehadiran ular tersebut disedari oleh salah seorang anaknya ketika mahu menaiki tangga menuju tingkat atas.

"Kami sedang berkemas-kemas mahu pulang ke kampung yang terletak di Kuala Pilah. Sebelum balik, saya minta anak pergi kedai beli pasir kucing dan ambil makanan yang ditempah.

"Bila anak balik, dia nak naik atas. Tiba-tiba dia bergegas turun tangga dan menjerit ada ular. Saya pun jenguk tempat yang dimaksudkan anak. Tapi nampak kepalanya saja yang tengah kembang.

"Tak berani nak naik tengok betul-betul. Ular tu duduk dekat bahagian tengah antara dua tangga. Masa saya jenguk dari bawah, ia pun tengok ke arah saya. Macam saling pandang-memandang pula," ujar wanita berusia 49 tahun yang menetap di Seremban ini.

Menurut Mar, dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dalam masa yang sama memerhatikan ular tersebut dari bawah untuk memantau pergerakannya.

Ular tedung selar berjaya ditangkap oleh anggota APM.

"Ular tu kemudian melingkar dan membelit pasu yang ada dekat tepi tangga tu. Mujurlah tak turun ke bawah sebab saya, dua anak dan enam ekor kucing ada dekat bawah.

"Sekitar 15 minit, lima anggota APM tiba dan berjaya menangkap ular tersebut. Mereka beritahu ular tersebut King Cobra... memang paling berbisalah.

"Terkejut bila tengok saiz ular itu sebaik ditangkap. Ingatkan ular tedung biasa-biasa je," ujarnya.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, menurut Mar, keesokan hari rumah ibunya di kampung pula dimasuki ular.

Macam berjangkit pula, dua hari berturut-turut rumah dimasuk ular.

MAR

"Ketika itu saya sedang bercerita pasal kejadian King Cobra masuk rumah saya sebelum nak balik kampung. Tiba-tiba nampak kucing dekat rumah mak ralit main-main dengan satu 'benda'.

"Rupanya tengah main dengan anak ular... masih hidup pula tu. Macam berjangkit pula, dua hari berturut-turut rumah dimasuk ular," ceritanya lagi.

Tambah Mar, kejadian tersebut tidak membuatkan dirinya terlalu trauma namun mengambil langkah untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Anak ular memasuki rumah ibu Mar di kampung, sehari selepas kejadian rumahnya dimasuki King Cobra.

"Bila benda ni berlaku, rasa Allah masih sayangkan kami. Kalau tak sedar atau anak tak nampak, mungkin benda buruk boleh terjadi. Hairan sebenarnya macam mana ular boleh ada dekat atas.

"Tapi mungkin juga ia masuk melalui lubang tingkap atau lubang tandas. Selepas ini kena berhati-hati, tutup semua lubang ataupun ruang yang berpotensi untuk dimasuki haiwan.

"Saya sekadar kongsikan di media sosial sekadar suka-suka... kenangan hari raya haji yang takkan dilupakan. Dalam masa yang sama mesej saya adalah untuk dijadikan peringatan bersama," akhirinya.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page CoretanNasihat.net Ya.

PERHATIAN: Pihak CoretanNasihat tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post